Sunday, 19 November 2017
A+ R A-

KEMERIAHAN SAMBUTAN FESTIVAL KONVOKESYEN KE-11 UniMAP

  • Category: News
  • Written by Super User
  • Hits: 240

20 Oktober sehingga 25 Oktober 2016 - Universiti Malaysia Perlis telah menganjurkan Festival Konvokesyen yang ke-11 UniMAP. Festival konvokesyen ini dianjurkan sempena meraikan mahasiswa-mahasiswi UniMAP yang telah berjaya menamatkan pelajaran dan bergraduasi bermula pada 21 Oktober sehingga 25 Oktober. Festival Konvokesyen ini dianjurkan bersama dengan pihak Kumpulan Media Karangkraf dan ini adalah kali ketiga penganjuran bersama pihak Kumpulan Media Karangkraf ini dilakukan. Tema FestKon 11 UniMAP pada tahun ini ialah “Wasatiyyah Peneraju Kecemerlangan” dan buat julung kalinya dilakukan di Dataran Pusat Kejuruteraan UniMAP.


Seramai 27 orang pelajar UniMAP telah dilantik dan diberi kepercayan mutlak untuk menjadi Sekretariat FestKon 11 UniMAP dan gerak kerja FestKon 11 ini diketuai oleh Pengarah FestKon 11 UniMAP iaitu saudara Muhamad Izzat Bin Rizal yang juga merupakan Timbalan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP bagi sesi 2015/2016. Gerak kerja Sekretariat FestKon 11 ini telah bermula pada cuti semester yang lalu sehingga pada hari kejadian. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” merupakan peribahasa yang sentiasa digunakan oleh Pengarah FestKon 11 untuk memastikan organisasinya sentiasa kukuh dan terus komited dalam gerak kerja Festival Konvokesyen. Gerak kerja FestKon 11 UniMAP ini juga dibantu oleh pegawai dan staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP (JHEPA) untuk memastikan Sekretariat FestKon 11 melakukan kerja dengan teliti dan sempurna.
Festival Konvokesyen ke 11 UniMAP ini telah dirasmikan oleh Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Majlis perasmian berlangsung dengan suasana yang meriah dengan kunjungan orang ramai yang hadir pada malam tersebut. Majlis perasmian tersebut bertambah meriah dengan persembahan daripada staf Unit Kebudayaan dan Rekreasi UniMAP dan persembahan artis iaitu Lah Ahmad. Bertepatan dengan konsep Islamik Arab, persembahan pada malam tersebut dihiburkan dengan persembahan yang berunsurkan ilmiah. Selain itu, terdapat juga persembahan daripada pelajar UniMAP yang unik dan menarik seperti Teater dan Yoyo.


Pelbagai aktiviti dan program telah dilakukan oleh Sekretariat FestKon 11 dengan kerjasama pihak Kumpulan Media Karangkraf sepanjang FestKon 11 UniMAP berlangsung. Antara program yang menjadi tarikan pengunjung ialah Valakkk’s House, Memanah, Hiburan Media Showcase bersama Harris Baba, Malam Penghayatan Islam bersama Syamsul Debat, Bicara Cinta Anak Muda, Nothern Low Unite, pertandingan mewarna bersama Didi& Friends dan pelbagai lagi aktiviti lain yang luar biasa hebat. Seterusnya, untuk menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir ke Festival Konvokesyen, jualan kering dan basah diadakan sepanjang FestKon 11 UniMAP berlangsung dan pelbagai jenis aneka jualan makanan yang disediakan para penggerai.


Namun begitu, dalam kemeriahan FestKon 11 berlangsung satu bencana alam telah berlaku pada 24 Oktober sekitar jam 4.00 petang. Ribut kencang yang berlaku pada ketika itu telah menerbangkan beberapa buah khemah yang berdekatan dengan khemah utama FestKon 11 UniMAP antaranya ialah dua buah khemah jualan bunga, sebuah khemah Unit Keselamatan dan sebuah khemah Alumni UniMAP. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua pengunjung dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Proses baik pulih dilakukan sepantas kilat oleh pihak Sekretariat FestKon 11 UniMAP dan staf keselamatan daripada Jabatan Keselamatan. Program pada malam tersebut diteruskan juga dengan sambutan yang hangat daripada para hadirin.“Walaupun FestKon 11 in idilakukan pada cuti pertengahan semester, namun pengunjung yang hadir pada setiap hari sangat luar biasa hebat” kata Pengarah FestKon 11 UniMAP.

Pelbagai strategi dan perancangan dilakukan untuk memastikan kemeriahan FestKon 11 UniMAP berlangsung dengan luar biasa hebat. Kekuatan dan keunikan promosi serta publisiti menjadi tonggak utama bagi memastikan setiap informasi FestKon 11 UniMAP diterima oleh mahasiswa-mahasiswi UniMAP dan masyarakat sekitar di Negeri Perlis. Aktiviti seperti Flashmob dan Busking di Giant dan Cmart menjadi keunikan aktiviti promosi pada tahun ini. Selain itu juga Sekretariat FestKon 11 UniMAP juga melakukan edaran risalah FestKon 11 UniMAP di pasar malam sekitar Negeri Perlis.


Pada 25 Oktober 2016, Festival Konvokesyen ke 11 UniMAP telah tiba ke penghujung program. Pada malam tersebut dimeriahkan dengan persembahan artis iaitu Khai Bahar. Tampak riak wajah Sekretariat dan Krew FestKon 11 UniMAP yang gembira dalam kesedihan pada malam majlis penutup FestKon 11 UniMAP. Pelbagai peristiwa pahit manis yang telah mereka lalui apabila menggalas tanggungjawab sebagai seorang Sekretariat dan Krew FestKon 11 UniMAP. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP Ybhg Dato’ Prof. Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan pemberian plak FestKon 12 UniMAP kepada Pengarah FestKon 12 UniMAP menjadi simbolik majlis penutup Festival Konvokesyen ke 11 UniMAP.