Friday, 22 September 2017
A+ R A-

KAD UniDEBIT Sediakan Akses Mudah Untuk Pelajar UniMAP

  • Category: News
  • Written by Super User
  • Hits: 379

Pauh Putra, 26 Ogos – Seiring dengan kemajuan teknologi masa kini yang semakin pesat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut tidak ketinggalan melancarkan Kad UniDebit pada hari pendaftaran kemasukan pelajar baharu, di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini, semalam.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kad UniDebit itu turut menawarkan fungsi tambahan berbanding kad debit biasa dengan menyediakan akses mudah sebagai pengenalan diri pelajar UniMAP atau lebih dikenali sebagai kad matrik pelajar.

 

“Pelajar juga boleh melakukan urus niaga dalam talian melalui kad UniDebit ini untuk membeli bahan pembelajaran, akses di perpustakaan, bayaran yuran, serta lain-lain kepentingan yang boleh digunakan di seluruh kampus UniMAP termasuk kolej-kolej kediaman.

“Justeru, kemudahan transaksi tanpa tunai ini bukan sahaja lebih menjamin keselesaan dan keselamatan kerana tidak perlu membawa wang yang banyak secara fizikal tetapi pelajar dapat menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih baik,” kata beliau ketika berucap di Majlis Taklimat Waris dan Program Minggu Suaikenal Sidang Akademik 2016/2017 di sini .

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan ini bakal dimanfaatkan oleh lebih 2,000 pelajar baharu yang mendaftar semester ini dan seterusnya akan dikembangkan meliputi hampir 14,000 mahasiswa UniMAP lain.

Kad UniDebit berkenaan dilancarkan hasil perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara UniMAP diwakili Zul Azhar dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abd Wahid sempena majlis itu.

Berkenan menyaksikan upacara perjanjian itu ialah Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Raja Muda Perlis dan Pro Canselor UniMAP iaitu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi BMMB, Tuan Haji Peer Mohamed Ibramsha dan mantan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin.

MoU berkenaan adalah hasil lanjutan kerjasama di antara BMMB dengan UniMAP yang merupakan bank rasmi UniMAP sejak awal penubuhan universiti itu hampir 14 tahun lalu.

Sumber: laman web UniMAP