Sunday, 24 September 2017
A+ R A-

Alumni UniMAP Sumbang Bantuan Aidilfitri

  • Category: HEPA 2017
  • Written by Super User
  • Hits: 48

PAUH PUTRA, 23 Jun - Kemeriahan Aidilfitri semakin terasa, namun disebalik itu ada insan yang hanya menyambutnya ala kadar disebabkan kesempitan hidup yang dialami.Terpanggil dengan keadaan itu, Unit Pembangunan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif membantu golongan asnaf yang terpilih di negeri Perlis dan Kedah. 

 

Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, semua sumbangan terbabit adalah hasil kutipan dari jabatan-jabatan dan warga UniMAP.“Pada tahun ini kita dapat mengagihkan sumbangan kepada tujuh keluarga di sekitar Perlis dan Kedah yang berupa keperluan harian dan duit raya berjumlah RM300 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.“Saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri, di sini, semalam.


Turut hadir, Timbalan Dekan Pembangunan Alumni UniMAP, Dr. Ummi Naiemah Saraih dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Mohd Hafiz Arshad.Sementara itu bagi salah seorang penerima, Ahmadi Hassan dari Kampung Lembah Keriang, Changloon, 37, amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan kepada keluarganya.“Saya amat berterima kasih kepada orang ramai yang sudi memberi sumbangan kepada keluarga kami selama ini. “Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menyambut hari raya yang bakal tiba nanti,” katanya.


Ahmadi yang tinggal bersama 14 orang saudara termasuk ibunya dalam sebuah rumah yang didirikan atas Tanah Rezab Kerajaan berkata, keluarganya amat berharap agar ada pihak yang bermurah hati untuk mendermakan sebuah rumah kepada mereka.
“Kakak saya yang lumpuh dan menghidap kanser payudara serta tiroid juga tinggal bersama kami,” katanya yang bekerja di sebuah kelab golf berdekatan dengan rumahnya.