Friday, 17 November 2017
A+ R A-

UniMAP Lancar Tabung Bencana Kebakaran Tawau

  • Category: HEPA 2017
  • Written by Super User
  • Hits: 92

Arau, 4 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyatakan keprihatinannya terhadap tragedy kebakaran yang menimpa lebih 250 rumah setinggan di Tawau, Sabah dengan melancarkan melancarkan Tabung Bencana Kebakaran hari ini.

Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, inisiatif tersebut diambil apabila memikirkan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk tersebut susulan kejadian itu yang berlaku di saat Umat Islam masih dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri.

 

Selain itu, ujarnya, dua pelajar UniMAP dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik dan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi juga merupakan antara 1,000 mangsa yang terlibat dengan kebakaran tersebut.

“Di peringkat UniMAP sendiri, kita telah menubuhkan satu pasukan khas yang akan menguruskan bantuan dan sumbangan kepada kedua-dua pelajar tersebut dan ia termasuk peruntukan dari Tabung Bencana UniMAP dan sumbangan zakat.

“Manakala pelancaran tabung ini pula dibuka kepada semua lapisan masyarakat bagi membolehkan bantuan turut disalurkan kepada mangsa-mangsa lain yang terlibat,” ujar beliau.

Menurut Dr. Zul Azhar, tabung tersebut akan digerakkan di seluruh negeri Perlis dengan lokasi utama adalah di Pusat Sehenti UniMAP di aras bawah Bangunan KWSP di Kangar.

 “Tabung ini akan dibuka untuk tempoh dua minggu sebelum disampaikan kepada wakil penduduk bagi meringankan bebanan yang ditanggung. Selain edaran dalaman, kutipan sumbangan ini juga di buka kepada orang ramai atau organisasi luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran ringkas tabung tersebut di Pusat Kesihatan UniMAP di Pauh Putra di sini.

Dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu, keriangan Aidilfitri 250 buah rumah setinggan membabitkan lebih 1,000 penduduk di Kampung Hidayat Batu 4, Jalan Apas di sini bertukar suram selepas musnah dijilat api.

Menurut kenyataan akhbar Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah (JBPMS), kebakaran tersebut melibatkan anggaran keluasan rumah 100x100 persegi yang dibina atas air.