Sunday, 24 September 2017
A+ R A-

UniMAP cipta sejarah di Korea Selatan

  • Category: HEPA 2017
  • Written by Super User
  • Hits: 354

INCHEON 3 Dis. – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama negara merintis kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Korea Selatan.

Semalam, Unimap menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan Kolej Teknikal Inha di bandar raya Incheon, iaitu sehari selepas menandatangani Surat Niat Hasrat (LoI) dengan World Skills Korea di Seoul, kelmarin.

World Skills Korea ialah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan Korea Selatan untuk memantau perkembangan kemahiran teknikal negara itu serta menubuhkan Global Institut For Transferring Skills (GIFTS) bagi berkongsi sumber dan kepakaran dengan negara-negara membangun di Asia, Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan.

Naib Canselor Unimap, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin menyatakan, MoU dan LoI itu bakal menggalakkan pelbagai kerjasama berkaitan TVET antara institusi pendidikan di Malaysia dengan kolej teknikal di Korea Selatan.

“Unimap memilih Korea Selatan kerana negara ini lebih fokus dan maju sehingga mencetuskan gelombang baharu dalam bidang TVET,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada para pemberita selepas menandatangani perjanjian berkaitan dengan Presiden Kolej Teknikal Inha, Dr. In Joo Chin di kolej berkenaan di sini, semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Unimap berkenan menyaksikan majlis tersebut.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unimap, Prof. Madya Mohd. Foad Sakdan.

Menurut Kamarudin, Unimap juga akan menganjurkan Bulan Korea pada suku pertama 2016 dengan mengundang pakar TVET Korea Selatan menyampaikan ceramah kepada pelajar dan guru dari institut latihan kemahiran di utara Semenanjung, termasuk selatan Thailand serta pertandingan kemahiran dan inovasi dengan pelajar Korea.

“Program ini adalah sumbangan kemasyarakatan Unimap kepada masyarakat dan pelajar di selatan Thailand,” katanya sambil menambah kejayaan ini adalah antara hasil kerjasama erat Unimap dengan Korea Selatan.

Sementara itu, Dr. In Joo Chin ketika ditemui mengakui, MoU dengan Unimap itu adalah yang pertama ditandatangani dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

“Kami sedia berkongsi kepakaran dan mengadakan pertukaran pelajar bagi bantu IPT Malaysia mempelajari bidang kepakaran kami,” kata Chin yang memiliki Ph.D dalam bidang geopolimer.

Beliau menyatakan, Kolej Tek­nikal Inha yang dimiliki syarikat Penerbangan Korea itu merupakan kolej teknikal kelima terbaik dari 140 buah kolej teknikal di Korea Selatan.

Katanya, kolej yang mempunyai kira-kira 7,000 pelajar itu menawarkan antaranya kejuruteraan mekanikal kapal terbang dan automotif, reka bentuk mesin, mekatronik, kejuruteraan laut, elektrik dan elektronik, komputer, arkitek dalaman dan pengurusan kabin. – UTUSAN