Friday, 22 September 2017
A+ R A-

Festival Konvokesyen UniMAP Sedia Pelbagai Aktiviti

  • Category: HEPA 2017
  • Written by Super User
  • Hits: 1233

Arau, 11 September – Pelbagai program dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang Festival Konvokesyen (FestKon) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-10 yang bakal dirasmikan 16 September ini termasuk persembahan dari artis terkenal negara Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir.

Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Madya Razli Ahmad menyasarkan sekitar 100,000 pengunjung berkunjung ke festival yang bakal berlangsung selama enam hari itu.

Ujar beliau, UniMAP juga turut menjalinkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan MyBas untuk memudahkan masyarakat luar hadir memeriahkan festival yang berlangsung di kampus tetap UniMAP Pauh Putra.

“Hasil perbincangan, pihak MyBas dari pelbagai lokasi yang ada sekarang ini akan masuk ke dalam kampus UniMAP mulai 16 September ini sehingga ke hari terakhir Festival iaitu pada 21 September.

“Dengan cara ini kami berharap masyarakat dari seluruh Perlis akan hadir memeriahkan acara yang disusun,” katanya ketika ditemui pada majlis Pra Pelancaran dan pelancaran logo baru FestKon di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin. Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Menurut Razli lagi, pengunjung festival juga berpeluang menghadiri sesi perkongsian ilmu Sains dan Al-Quran oleh penceramah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin.

Jelas beliau, untuk FestKon ke-10 ini, ia bakal menggabungkan elemen sains, pendidikan dan hiburan bagi memastikan setiap program yang disajikan bukan sekadar untuk berhibur tetapi pada masa sama turut memberikan ilmu dan manfaat.

“Sebagai sebuah universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi, gabungan elemen ini secara tidak langsung akan mengurangkan keasyikan pelajar terhadap  aktiviti yang tidak berfaedah.

“Beberapa personaliti dan ikon dakwah akan turut hadir memeriahkan acara antaranya Amin Idris, Ahmad Fedtri Yahya, PU Azman, Ustazah Isfadiah dan Farah Asyikin,” jelasnya lagi.