Friday, 22 September 2017
A+ R A-

Program My Inovasi Boot-Camp 2014 UniMAP Putrajaya

  • Category: HEPA 2017
  • Written by Super User
  • Hits: 816

PUTRA JAYA - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah memenangi hadiah Geran Pemenang Peringkat Zon, zon utara di dalam pertandingan MyInnovasi 2014. Majlis ini telah berlangsung selama dua hari pada 11hb dan 12hb Oktober 2014, bertempat di Dewan Seri Seroja Presint Diplomatik, Putrajaya.

 

Program MyInovasi 2014 ini menyelitkan program Boot-Camp 2014 yang diadakan selama dua hari dengan memberikan bimbingan kepada semua penyelidik daripada seluruh Negara. Boot-Camp 2014 ini adalah merupakan program yang dikhususkan kepada pemenang yang telah memenangi peringkat zon masing-masing. Bimbingan awal diberikan berbentuk kuliah dan bengkel. Tujuan Boot-Camp 2014 diadakan bagi mengilap semua kumpulan penyelidik tersebut agar dapat membentangkan produk mereka pada sesi Akhir nanti adalah benar-benar berkualiti serta memenuhi ciri-ciri produk yang mampu dipasarkan.

Pihak sekretariat telah menjemput pembentang-pembentang yang mempunyai kepakaran di bidang masing-masing dan antaranya adalah yang pernah memenangi anugerah inovasi negara bagi mencurahkan ilmu mereka kepada semua kumpulan  penyelidik, seperti Dr Wan Abdul Rahman Jauhari bin Wan Harun daripada SIRIM Bhd.,  En Ismail Rosdi daripada Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), En Robest Yong daripada Agensi Inovasi Malaysia, En Zulkifli Haron daripada Zul Design Autotronic, En Redzuan Ali daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan En Tan Yeow Kiang daripada Ucle Bugs Tan. Seramai 50 kumpulan telah berjaya memenangi geran pemenang peringkat zon, bermula dari seluruh semenanjung hingga Sabah dan Sarawak.

Majlis Boot-Camp 2014 dan Penyampaian Hadiah Geran Pemenang Peringkat Zon ini telah dimenangi oleh dua kumpulan penyelidikan pelajar UniMAP. Produk yang terpilih adalah Mesin Pengasing Biji Cili Kering (MyUTA-106) dan AGRO CC (MyUTA-60).

Kumpulan pertama terdiri daripada Green Design and Manufacture (GDM), iaitu dianggotai oleh gabungan pelajar daripada dua (2) pelajar Ijazah Kejuruteraan Rekabentuk Produk dan seorang pelajar Diploma Kejuruteraan Rekabentuk Produk daripada Pusat Penggajian Kejuruteraan Pembuatan (PPKP) dan seorang pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UniMAP. Kumpulan pertama, GDM ini mewakili untuk produk MyUTA-106.

Kumpulan kedua terdiri daripada tiga (3) pelajar Kejuruteraan Rekabentuk Produk, Pusat Penggajian Kejuruteraan Pembuatan (PPKP) UniMAP. Kumpulan kedua, ini mewakili untuk produk MyUTA-60.

Kumpulan penyelidikan pelajar produk MyUTA-106 ini telah dibimbing oleh En Badrol Azmi bin Holed dan En Hatta bin Musa telah membimbing pasukan MyUTA-60.  Gabungan dua kumpulan pelajar ini telah berjaya melonjakan nama Pusat Penggajian Kejuruteraan Pembuatan (PPKP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UniMAP dalam mengetengahkan idea-idea inovasi demi menyahut seruan pihak Kerajaan Malaysia khususnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan motto Innovasi Berbudi Masyarakat Lestari.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Tn Hj Ahmad Ibrahim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, KPM serta disaksikan oleh  Prof Dr Fuad Soadan TNC HEPA UniMAP. Kumpulan penyelidik ini telah menerima geran pemenang peringkat zon berjumlah RM5000 setiap kumpulan. Wang tersebut perlu digunakan untuk membangunkan produk siap untuk di pertandingkan semula di peringkat akhir nanti.

Dengan kemenangan ini, ia telah menjadi penyuntik semangat untuk dua kumpulan penyelidik UniMAP gabungan daripada pelajar Pusat Pennggajian Kejuruteraan Pembutan (PPKP) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) ini mara ke peringkat akhir iaitu pada 15 dan 16 hb Disember 2014 yang akan berlangsung di Putrajaya. Turut sama menjayakan majlis ini ialah badan sekretariat MyInovasi 2014 daripada Institut Sultan Iskandar (ISI) UTM Skudai, Johor.