Friday, 17 November 2017
A+ R A-

Pendaftaran Pelajar Ijazah

  • Category: HEPA 2017
  • Written by Super User
  • Hits: 741

Pauh Putra , 2 Sept – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima kemasukan seramai 2,584 pelajar baharu bagi sesi akademik 2014/2015 yang berlangsung di Kampus Induk Pauh Putra semalam.

 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamaluillail yang juga Canselor UniMAP semasa berangkat ke majlis taklimat waris bertitah agar para ibu bapa dan penjaga sentiasa memainkan peranan dan tanggungjawab dengan sentiasa memantau dan menghubungi anak-anak dengan bertanyakan khabar mereka dan tidak ‘lepas tangan’ dalam hal-hal berkaitan.

“Walaupun mereka berada jauh dari mata saya berharap anak-anak ini akan sentiasa diberikan dorongan supaya terus fokus, rasa dihargai, disayangi, dilindungi serta diharapkan untuk berjaya dalam pelajaran.

Pastikanlah anak-anak atau jagaan tidak sekali-kali terlibat dan dipengaruhi perkara-perkara yang tidak berfaedah serta nasihati dan ingatkanlah mereka kerana ia umpama peringatan yang sentiasa mengiringi mereka sepanjang berada di sini,”titah baginda.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan, TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Abdul Hamid Adom.

Keseluruhan pelajar ini akan mengikuti 37 program Kejuruteraan, Kejuruteraan Teknologi dan Sains Sosial yang ditawarkan oleh 11 pusat pengajian.

Sementara itu, seramai 161 pelajar antarabangsa dari negara 21 buah negara turut mendaftar esok, 3 September 2014.

Para pelajar ini akan melalui minggu suai kenal yang berlangsung selama enam hari. Bagi kemasukan ambilan kedua sidang akademik 2014/2015 akan berlangsung pada 17 September 2014 ini.