Sunday, 19 November 2017
A+ R A-

Kata Aluan TNC

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

Pelajar merupakan komponen yang terpenting dalam komuniti kampus. Mana mungkin wujudnya sesebuah Universiti tanpa adanya pelajar. Menyedari hakikat ini, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan pelajar Universiti.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni telah berkembang dengan cukup pesat sebagai salah satu Jabatan yang penting dalam aspek menjaga kebajikan dan pembangunan pelajar secara seiring. Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni bersedia untuk menggalas amanah ini untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar. Komitmen semua staf sentiasa tinggi untuk memberikan didikan, dorongan dan bimbingan terbaik kepada mahasiswa & mahasiswi dalam usaha membentuk graduan berkualiti yang mampu mendukung wawasan Negara pada masa depan.

Bagi melahirkan graduan holistik dan berdaya gaji tinggi, setiap pelajar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah (soft skills) seperti kemahiran komunikasi, kemahiran keusahawanan, kemahiran membuat keputusan dan kemahiran menyelesaikan masalah serta pemikiran kreatif. Semua kemahiran ini dikira sebagai nilai tambah dalam diri seorang pelajar bagi memastikan kebolehpasaran apabila bergraduat kelak.

Saya menyeru agar semua pelajar merebut peluang yang ada di gedung ilmu ini bagi memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang berguna untuk kejayaan masa hadapan anda. Amalkanlah disiplin diri yang tinggi di samping melengkapkan diri dari segi intelektual, jasmani, rohani, emosi dan sahsiah diri bagi menghadapi cabaran global dan persaingan dunia pekerjaan nanti.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni sentiasa bersedia membantu pelajar yang menghadapi sebarang masalah atau memerlukan apa-apa  bantuan.  Jadikanlah input dan maklumat yang boleh di dapati dalam laman web ini sebagai rujukan dan sumber maklumat yang terkini dalam membantu anda sepanjang berada di Universiti Malaysia Perlis dan juga membantu anda merancang proses pembangunan diri. Keupayaan mahasiswa/mahasiswi menyesuaikan diri serta mengembeleng sumber dan kepakaran yang ada secara kreatif akan membawa kepada penghasilan graduan yang di inginkan untuk memberi lebih banyak manfaat dan impak kepada rakyat dan negara.

SELAMAT MAJU JAYA!!

Sekian, Terima Kasih.

 

PROF. MADYA DR. MOHD FO'AD SAKDAN
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA)