Friday, 22 September 2017
A+ R A-
Filter
  • 122 Pelajar Dirai Sempena Majlis Anugerah Gemilang Siswa (AGS) 2015 (2)

    Pauh Putra,1 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan 122 pelajar yang banyak memberi sumbangan kepada universiti itu sepanjang tahun lalu di Majlis Anugerah Gemilang Siswa (AGS) 2015, di sini, hari ini.

    Majlis yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan.

    Menurut Dr Mohd Foad, AGS dianjurkan sebagai inisiatif UniMAP bagi menghargai usaha keras dan sokongan padu pelajar-pelajarnya yang turut sama mendukung misi dan visi universiti.

    “Pihak pengurusan percaya, tanpa adanya sokongan dan kejayaan yang diraih pelajar samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, adalah mustahil UniMAP berada di kedudukan sekarang.

    “Di samping itu, penghargaan yang diberikan ini adalah dengan hasrat menjadi pendorong dan pemangkin kepada individu-individu lain untuk sama-sama bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti,” kata beliau ketika berucap merasmikan AGS 2015 berkenaan.

    Hadir sama ke majlis itu ialah Pendaftar UniMAP, Zuber Haji Mohamad dan Dekan HEPA UniMAP, Prof Madya Razli Ahmad.

    Menurut Dr Mohd Foad, sebanyak 36 anugerah dengan lapan kategori disediakan pada AGS 2015 ini termasuk satu anugerah baru diperkenalkan iaitu Anugerah Keusahawanan Khas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

    “ Anugerah ini adalah salah satu usaha pihak kementerian dan U  niMAP sendiri bagi menggalakkan dan melahirkan pelajar yang berpotensi menjadi usahawan yang berjaya serta mampu meningkatkan ekonomi negara.

    “Ia diberikan kepada pelajar terpilih dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menjalankan perniagaan atau aktiviti keusahawanan semasa tempoh mengikuti pengajian di universiti,” kata beliau.

    Sementara itu, bagi Anugerah Utama AGS 2015 iaitu Anugerah Tokoh Terbilang diraih oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang Akademik 2014/2015, Farizah Abdul Rahman di atas sumbangan beliau ketika mengetuai kepemimpinan MPP UniMAP sebelum ini.