Sunday, 24 September 2017
A+ R A-

Latar Belakang Unit Pembangunan Alumni

Unit Alumni di Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) UniMAP telah ditubuhkan sekitar penghujung 2006. Pada awal penubuhan unit ini telah disekalikan dengan Unit Debat dengan pelantikan Pn Sayang Nurshahrizleen Ramlan sebagai Pegawai Tadbir pertama yang ditugaskan untuk menerajui unit ini. Kemudian unit ini telah disekalikan dengan Unit Sukarelawan dan ditadbir pula oleh En Azfardon Zulkamal Azmi pada 1 Jun 2011 dan kemudiannya diteruskan dengan pelantikan En Ahmad Mu’adz Nazari sebagai Pegawai tadbir bagi unit ini pada 1 Mac 2015.

Bermula pada 1 Jun 2015 pula, Dr. Ummi Naiemah Saraih telahpun dilantik sebagai Timbalan Dekan (Pembangunan Alumni) manakala En. Nurakmal Ramli pula telah diberi kepercayaan untuk membantu pelaksanaan tadbir urus sebagai Pegawai Tadbir bagi melicinkan proses perancangan dan pengurusan melibatkan Unit Pembangunan Alumni di Jabatan HEPA UniMAP.

UniMAP telah mula melahirkan seramai 111 alumni sulung sempena Istiadat Konvokesyen Pertama UniMAP yang diadakan pada 2006. Di peringkat Sarjana Muda, seramai 59 alumni telah berjaya dilahirkan dari PPK Mikroelektronik dan seramai 48 alumni pula merupakan produk pertama yang dihasilkan oleh PPK Komputer & Perhubungan. Di peringkat Sarjana pula, 4 orang alumni telah berjaya dilahirkan dari PPK Mikroelektronik, PPK Komputer & Perhubungan, PPK Mekatronik dan PPK Bahan, yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 111 alumni dari kohort pertama dari UniMAP. Kini bilangan alumni UniMAP telahpun melebihi 12,000 orang sempena Istiadat Konvokesyen ke-10 yang telah berlangsung pada 19 hingga 21 September 2015.

Persatuan Alumni UniMAP juga telah semakin bergerak aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti bersama bagi membantu mahasiswa dan bakal graduan di samping mengukuhkan hubungan antara alumni dengan pihak universiti. Kini, Presiden Persatuan Alumni UniMAP, En Syed Akmal Syed Jamalil bersama-sama Unit Pembangunan Alumni di Jabatan HEPA semakin rancak menyusun strategi dalam meningkatkan perasaan ‘sense of belonging’ di kalangan alumni dan bakal-bakal alumni yang masih berada di universiti.

Dihasratkan agar peranan alumni dapat mula ditanamkan di kalangan mahasiswa sejak awal kemasukan mereka ke UniMAP. Ini adalah antara inisiatif awal bagi memastikan pembudayaan alumni akan sentiasa berterusan dan dapat berperanan dengan lebih efektif. Pembudayaan alumni dan penganjurkan aktiviti-aktiviti yang memberi impak yang dilaksanakan secara berterusan diharapkan dapat memupuk semangat cintakan ‘alma mater’ kepada Universiti. Di samping itu, pengukuhan semangat sayang akan Universiti di kalangan alumni dalam usaha untuk mengekalkan jaringan yang mantap antara alumni dan pihak Universiti disasarkan akan dapat dipertingkatkan.